Home Nasional Biar kabinet putuskan agensi ganti IMAMS – Asyraf

Biar kabinet putuskan agensi ganti IMAMS – Asyraf

Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. foto IQBAL BASRI, 09 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Serahkan kepada Kabinet untuk menentukan agensi mana yang lebih efektif dan efisyen untuk memikul tanggungjawab mengendalikan urusan kawal selia umrah selepas ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau percaya kerajaan sudah tentu akan melihat semua aspek sebelum menentukan sesuatu dasar bagi menjamin kesejahteraan serta kebajikan rakyat, terutama urusan berkaitan ibadah umat Islam.

“Hakikatnya pelbagai bentuk penipuan dikesan melibatkan syarikat swasta yang selama ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang mengambil kesempatan atas kesungguhan umat Islam untuk mengerjakan ibadah umrah.

“Hal ini turut mendesak kerajaan untuk mengawal selia secara berkesan pakej-pakej umrah sebagaimana haji,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas cadangan agar Tabung Haji (TH) menggalas tanggungjawab mengendalikan urusan umrah susulan pembatalan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi urusan visa umrah yang diumumkan Sabtu lalu.

Asyraf Wajdi berkata sebarang cadangan untuk meluaskan bidang kuasa TH perlu memerlukan pindaan kepada aspek undang-undang berkaitan.

“Sememangnya ramai yang keliru selama ini seolah-olah urusan umrah juga di bawah tanggungjawab TH memandangkan kecemerlangan TH dalam menguruskan hal ehwal haji di tanah suci.

“Jadi tidak hairanlah jika ramai yang berpandangan agar TH yang sinonim dengan nama Makkah dan Madinah juga diberi tanggungjawab menguruskan atau mengawal selia urusan umrah,” katanya.

Media semalam melaporkan TH akan meneliti cadangan yang mahu institusi itu memikul tanggungjawab mengendalikan urusan umrah.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah dilaporkan berkata kajian mendalam perlu dibuat daripada pelbagai aspek kerana pengurusan umrah berbeza daripada haji.

Sementara itu, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sedia menggalas tanggungjawab mengendalikan sistem pengurusan umrah jika diberi peluang.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata beliau yakin dengan kemampuan koperasi untuk mengendalikannya dengan baik memandangkan sektor itu telah lama terlibat dalam pelaksanaan umrah.

“Anggota koperasi sendiri sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang menunaikan umrah setiap tahun.

“Selain itu, ANGKASA juga ada 42 koperasi yang terlibat dalam menguruskan program pelancongan sama ada dalam dan luar negara termasuk umrah sepanjang tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Rancangan Perniagaan Angkasa Zon 3 di Kuala Lipis semalam.

Beliau menambah jika peluang itu diberikan kepada ANGKASA, mereka mampu menawarkan harga yang lebih kompetitif kerana matkamat utama adalah memberikan perkhidmatan terbaik, bukan untuk mengejar keuntungan.

Selain itu, beliau melihat hubungan baik sektor koperasi di sini dengan koperasi induk di Arab Saudi memberikan nilai tambah kepada koperasi untuk melaksanakan program umrah. – MalaysiaGazette