SETIU – Dua pemuda maut dan tiga cedera dalam kemalangan di Kampung Saujana, Kilometer 68 Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Zulkifli Mat Deris berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 9.15 malam tadi itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna dan dua motosikal.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Alza dari arah Kuala Terengganu melanggar dua motosial iaitu jenis Honda Dash dan sebuah lagi belum dikenal pasti sehingga terkeluar dari simpang sebelah kiri jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, sebuah daripada motosikal terbabit telah terbakar,” katanya.

Penunggang dan pembonceng motosikal Honda Dash yang berusia 23 dan 21 tahun meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan teruk pada kepala.

Zulkifli berkata, jalan basah selepas hujan dan kawasan gelap mungkin menyumbang kepada kemalangan itu.

“Pemandu kereta yang juga seorang doktor cedera di tangan dan kaki manakala penunggang dan penumpang motosikal lain berusia 19 dan 20 mengalami kecederaan pada dagu, badan, tangan dan kaki.

“Ketiga penumpang di dalam kereta berusia 11, 14 dan 20 tidak tercedera,” katanya.

Beliau berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette