Home Seni Hidup Semakin netizen melalak semakin Iqram galak

Semakin netizen melalak semakin Iqram galak

Iqram Dinzly.

KUALA LUMPUR – “Cara netizen pandang saya, cakap tentang saya sebenarnya menggambarkan kualiti pemikiran generasi masa kini,” demikian kata pelakon yang sebelum ini dikenali sebagai Iqram Dinzly.

Pelakon yang nama penuhnya Muhammad Iqram Dinzly bin Muhammad Saipuddin berkata, kecaman yang diterimanya di laman sosial hanyalah pandangan mengenai dirinya menerusi video-video yang dimuat naik.

Ini, katanya, merupakan bukti yang netizen hanya berminat kepada permainan persepsi semata-mata.

Iqram berkata, ruangan Live Video di akaun Instagramnya adalah cara dia terus berkarya, walaupun sudah lama tidak berlakon.

“Saya sarankan kerajaan menitik beratkan anak muda seperti hari ini, menggambarkan betapa negatifnya orang Malaysia kerana boleh memberikan persepsi buruk tentang seseorang yang menggambarkan juga peribadi yang berkata-kata.

“Apa yang dibuat bukanlah satu yang kelihatan bodoh. Saya tidak rasa ia bodoh, saya guna ruangan yang mana saya rasa boleh  terus berkarya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bukan hanya terjadi kepada dirinya, Iqram yang kini hanya mahu dikenali sebagai ‘pinchiqydinzly’ sesuai dengana nama akaun Instagram terbarunya iqramdinzly_princhiqydinzly, melihat ramai lagi rakan artis yang sering menjadi mangsa kecaman, serangan, kritikan, hinaan netizen hanya kerana gambar atau video semata-mata.

“Perkara ini bukan saya sahaja yang terkena, ramai lagi. Datuk Aliff Syukri pun selalu kena, Sajat pun kena. Bukan saya sahaja.

“Mereka hukum berdasarkan gambar tanpa baca kapsyen. Terus hentam. Selepas itu tindakan selanjutnya pun akan dinilai berterusanlah anggapan itu,” ujarnya.

Mengaku hilang sabar dengan kecaman-kecaman secara melampau mengakibatkan Iqram, 36, pernah terbabas pertuturan dan tindakannya.

Iqram dalam pada itu menyifatkan kecanggihan teknologi dunia pada hari ini sebenarnya mendatangkan keburukan kepada orang ramai.

Iqram memaklumkan dia tidak pernah berhenti untuk terus menampilkan dirinya yang sebenar, walaupun setiap tindakannya dihentam, dan dijadikan bahan lawak.

Bagaimanapun, pelakon itu mengakui masih disayangi rakan seperjuangannya yang menghubunginya, mendekatinya dan tidak menyisihkannya.

Katanya, rakan-rakan seninya sentiasa menyokongnya walaupun tidak lagi berada dalam satu bumbung. -MalaysiaGazette