WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan dua sekatan baru terhadap pegawai Korea Utara yang merupakan dalang program peluru berpandu balistik negara itu.

Langkah baru itu adalah yang terkini dalam kempen untuk memaksa Korea Utara meninggalkan program senjata yang menyasarkan pembinaan peluru berpandu berkuasa nuklear yang boleh sampai ke AS.

Perbendaharaan AS menamakan pegawai berkenaan sebagai Kim Jong Sik dan Ri Pyong Chol.

Jong Sik dilaporkan sebagai tokoh utama dalam usaha Korea Utara menukar program peluru berpandunya daripada cecair kepada bahan api pepejal manakala Ri dilaporkan tokoh penting dalam pembinaan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

“Perbendaharaan menyasarkan tokoh penting program peluru berpandu balistik, sebagai sebahagian usaha memaksimumkan kempen tekanan meminggirkan Korea Utara dan mencapai usaha membebaskan Semenanjung Korea daripada nuklear sepenuhnya,” kata Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin menerusi kenyataan.

Ia menyusul sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diumumkan Jumaat lalu sebagai reaksi kepada ujian ICBM dilakukan 29 November lalu yang didakwa Pyongyang meletakkan semua tanah besar AS dalam jarak peluru nuklearnya. -MalaysiaGazette