SK Devamany

SUNGAI SIPUT – MIC mengambil pendekatan menyerahkan konflik yang dihadapi dengan Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) berhubung perebutan kerusi Parlimen Cameron Highlands diselesaikan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany, berkata pihaknya yakin kemelut itu dapat ditangani segera oleh parti yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

“Inilah antara bukti yang menunjukkan BN sentiasa mengamalkan ‘spirit of BN’ (semangat BN) dengan duduk semeja dalam menyelesaikan ketegangan sesama parti komponennya.

“Tidak seperti pembangkang yang hanya tahu menjatuhkan moral dan keyakinan hinggakan masih bertelagah dalam menentukan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika mereka menang pilihan raya umum nanti,” katanya.

Tambahnya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, MIC meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pimpinan tertinggi BN walaupun terdapat desakan supaya calon tempatan disenaraikan.

Dalam pada itu, Devamany yakin parti itu dapat merampas semula kerusi Parlimen Sungai Siput dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun kerusi itu telah dikuasai pembangkang sejak 10 tahun lalu.

Jelasnya, reaksi menunjukkan bahawa pengundi di kawasan itu tidak lagi berpihak kepada parti pembangkang.

“Ahli Parlimen Sungai Siput sekarang adalah kawan saya sendiri, dia memang baik tapi kalau anda seorang yang ringkas dan tidak boleh membawa perubahan ke Sungai Siput, rakyat pun marah.

“Rakyat bukan hanya perlukan ahli parlimen yang baik dan mudah disantuni, malah memerlukan pemimpin yang mampu membawa kepesatan industri dan peluang pekerjaan serta menjamin infrastuktur awam dapat dijaga,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan beg sekolah oleh Tenaga Nasional Berhad dan Ekuiti Nasional Berhad kepada 600 murid sekolah rendah sekitar Parlimen Sungai Siput di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. -MalaysiaGazette

Isu perebutan kerusi Cameron Highland dibincang secara tertutup – Kavyeas