Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 135,761 murid Tahun Satu melangkah ke alam persekolahan bagi tahun 2018 hari ini di Johor, Terengganu, Kedah dan Kelantan.

Menurut Takwim Penggal Persekolahan 2018, keempat-empat negeri berkenaan dikategorikan sebagai Kumpulan A yang memulakan sesi persekolahan hari ini manakala negeri-negeri lain di bawah Kumpulan B memulakan sesi persekolahan esok.

Di JOHOR, 56,576 murid memasuki Tahun Satu dan daripada jumlah itu, 38,069 merupakan murid Sekolah Kebangsaan, 16,222 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan 2,285 di SJK Tamil.

Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif berkata kesemua murid berkenaan ditempatkan di 2,022 kelas.

“Seramai 47,579 pelajar pula memasuki Tingkatan Satu tahun ini melibatkan 232 sekolah menengah dan 1,525 kelas,” katanya.

Di TERENGGANU, 20,631 murid Tahun Satu memulakan hari pertama sesi persekolahan 2018 di 352 sekolah rendah seluruh negeri itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin berkata daripada jumlah itu, 10,370 ialah murid perempuan dan 10,261 murid lelaki.

“Bagi Tingkatan Satu pula, ia melibatkan 19,759 pelajar di 150 sekolah menengah seluruh Terengganu.

“Alhamdulillah hari pertama persekolahan hari ini berjalan lancar meskipun terdapat beberapa kawasan dilanda hujan sejak malam tadi,\” katanya.

Terdapat 489 guru berkhidmat bagi prasekolah, 11,632 guru di sekolah rendah dan 10,462 guru di sekolah menengah di seluruh Terengganu.

Di KEDAH, 30,409 murid Tahun Satu mula bersekolah hari ini.

Ketua Unit Perhubungan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan negeri Abdullah Abdul Manaf berkata ia melibatkan 8,361 murid di daerah Kuala Muda/Yan, Kota Setar, (5,799), Kulim/Bandar Baharu (5,080), Kubang Pasu (3,471), Baling/Sik (3,290), Langkawi (1,678), Pendang (1,626) dan 1,104 di Padang Terap.

“Semuanya berjalan lancar hari ini dan pegawai-pagawai jabatan sentiasa memantau agar tiada sebarang masalah berlaku,” katanya.

Di KELANTAN, 28,145 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di 418 sekolah rendah, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Muhammad Zahari Othman.

Beliau berkata selain itu, 13,376 murid prasekolah dan 28,961 pelajar Tingkatan Satu turut memulakan persekolahan hari ini.

“Kesemua 29,626 guru sekolah rendah dan menengah di negeri ini akan terus menggalas tugas membimbing dengan penuh komited termasuk dalam soal menjaga disiplin pelajar,” katanya. – MalaysiaGazette