Home Nasional Kehilangan pendapatan negara perlu dipandang serius

Kehilangan pendapatan negara perlu dipandang serius

Dr. Anis Yusal

KUALA LUMPUR – Kehilangan pendapatan negara berbilion ringgit dalam bentuk cukai dan duti sepanjang tiga tahun lalu perlu dipandang berat oleh semua pihak.

Lantaran itu, Institut Integriti Malaysia (Integriti) menyambut baik tindakan tegas Jabatan Kastam Diraja Malaysia menggantung lesen 20 ejen penghantaran di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mula mengambil langkah konkrit bagi memupuk budaya berintegriti dalam kalangan anggota jabatannya dan meningkatkan tadbir urus baik.

Katanya, di bawah kerjasama dengan Integriti, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mula mengambil langkah mengguna pakai ujian psikometrik Profil Integriti Malaysia (MIP), yang melibatkan proses pengambilan pegawai-pegawai jabatan itu.

MIP satu instrumen yang digunakan untuk menilai tahap integriti seseorang individu dalam dua aspek utama iaitu Kualiti Peribadi dan Pendirian.

Katanya, tindakan holistik melibatkan semua peringkat adalah penting bagi melihat
keberkesanan usaha mengekang aktiviti penyeludupan dan mengatasi isu ketirisan
pendapatan negara.

Bagaimanapun, Jabatan Kastam Diraja Malaysia sahaja tidak boleh menangani isu penyeludupan dan ketirisan pendapatan cukai dan duti.

Sehubungan itu, langkah pemupukan budaya berintegriti tinggi oleh pengurusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia wajar disambut baik dan syarikat-syarikat ejen penghantaran juga
mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam soal ini.

“Kita tidak boleh menyerahkan usaha penghayatan budaya berintegriti kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia semata-mata, sebaliknya semua pihak berkepentingan dalam urusan kastam negara, khususnya ejen-ejen penghantaran ada peranan masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette