
WASHINGTON – Perang nuklear di antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara semakin hampir, menurut bekas Pengerusi Ketua Turus Staf AS, Mike Mullen.
Kebimbangan itu memuncak apabila AS kini ditadbir oleh Donald Trump.
“Pada pandangan saya, keadaan amat bahaya ini wujud dengan ketidaktentuan bagaimana ia berakhir. Berada di tempat teratas dalam senarai ialah Korea Utara.
“Kita semakin hampir dengan perang nuklear dengan Korea Utara dan ia tidak pernah disaksikan sebelum ini.
“Saya tidak melihat peluang menyelesaikan perkara ini menerusi cara diplomatik setakat ini,” katanya dipetik sebagai berkata dalam rancangan ‘This Week’.
Trump memberi amaran dalam ucapan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, September lalu bahawa AS ‘tidak mempunyai pilihan selain memusnahkan Korea Utara sepenuhnya’ jika terpaksa mempertahankan diri atau sekutunya.
Dalam pada itu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, berkata beliau sentiasa dalam kedudukan yang boleh mencapai butang nuklear.
“Butang nuklear sentiasa di atas meja saya. Ini bukan ugutan tetapi realiti,” kata Jong-un, mengulangi dakwaan rejim itu ialah negara kuasa nuklear. -MalaysiaGazette














