Home Nasional Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan di 12 UTC

Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan di 12 UTC

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 12 Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan mula beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, pusat itu menyediakan perkhidmatan pekerjaan dan latihan berstruktur bersesuaian keperluan semasa kepada rakyat.

Penubuhan pusat itu diumumkan pada Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pusat sehenti itu menawarkan khidmat nasihat berkaitan aspek pekerjaan dan latihan di bawah satu bumbung melalui penglibatan agensi seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Unit Peneraju Agenda Bumiputra (Teraju), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

Selain itu, ia turut menyediakan perkhidmatan pendaftaran pencari kerja; bimbingan kerjaya; pemadanan pekerjaan; temu duga terbuka oleh majikan; pendaftaran, permohonan dan temu duga untuk penyertaan program SL1M; pendaftaran dan permohonan program Teraju; serta permohonan kemudahan latihan melalui PSMB.

Riot menambah, dengan pelaksanaan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) berkuat kuasa tahun ini, pusat sehenti berkenaan akan menyediakan perkhidmatan pendaftaran bagi kehilangan pekerjaan dan permohonan faedah kehilangan pekerjaan di bawah SIP.

Pusat Sehenti itu beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 10 malam.

Menteri itu berkata, setakat akhir November lalu seramai 183,433 pencari kerja terutama dalam kalangan golongan belia berjaya ditempatkan JobsMalaysia dalam pelbagai kategori pekerjaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast