KLCC
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Lembaran baharu 2018 telah memberikan semangat serta harapan baharu kepada rata-rata rakyat Malaysia di negara ini, selain daripada cita-cita dan matlamat untuk dicapai bagi diri masing-masing.

Rata-rata daripada mereka mempunyai azam tinggi untuk memperbaiki diri sama ada dari kerjaya mahupun peribadi mereka. Masing-masing rasa berkeyakinan dan bersikap positif bagi mengharungi tahun baru 2018.

Dalam pada masa yang sama, mereka turut menaruh harapan kepada kerajaan agar isu-isu termasuk aspek perpaduan sehinggalah peningkatan kos sara hidup secara mendadak dengan ketidaktentuan ekonomi global. miskin bandar dan kesan kepada nilai ringgit diberi perhatian oleh kerajaan.

Fazli Shah SimponFazli Shah Simpon, 33, pengarah syarikat berkata, ketika ini rata-rata daripada rakyat rasa sangat terbeban dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selain kos barang meningkat.

Mungkin kerajaan perlu mencari jalan bagi mengatasi kekangan ini.

“Bukan saya kata GST tidak bagus, cuma ianya sangat membebankan. Kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan serta kesukaran untuk memiliki rumah yang juga mengalami kenaikan harga cukup memberi kesan negatif terumanya golongan B40.

“Kerajaan perlu memikirkan apakah mekanisma terbaik bagi membantu golongan ini,” katanya.

Vasanth Vasan

Vasanth Kalichelvan, 27, peniaga atas talian pula berharap  kerajaan memberikan fokus yang lebih mendalam terhadap isu-isu sosial yang sedang menghantui negara.

Ianya amat penting kerana generasi sebelum ini dan kini nampaknya telah banyak berubah. Semuanya kini berada di hujung jari, ada kebaikan tetapi keburukan juga tampak nyata.

“Kerajaan juga perlu memberi keutamaan dalam bidang pendidikan kerana masih banyak yang perlu diperbaiki, para pelajar kita juga sukar mendapatkan peluang pekerjaaan sesudah tamat pengajian.

“Saya sendiri mempunyai kenalan yang masih lagi sukar mencari pekerjaan yang sesuai dengan ijazah yang dimiliki,” ujarnya yang turut merayu kepada kerajaan mencari jalan untuk menangani isu berkaitan kos sara hidup yang semakin meningkat dan membebankan.

Biarpun mengakui kerajaan tampil dengan pelbagai mekanisme untuk membantu supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik tetapi tindakan segelintir pemborong dan peniaga tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan dan perkhidmatan tetap membebankan pengguna.

Ho Chee Sing

Ho Chee Sing, 45, seorang pengurus memberitahu, beliau  bekerja di Singapura kerana gaji di sini tidak dapat menampung keluarga.

“Kos kehidupan semakin meningkat, apa yang ditawarkan di sini tidak dapat menampung kehidupan kita apatah lagi sekiranya kita mempunyai anak-anak yang perlu mendapat pendidikan secukupnya,” katanya.

Nurfarahana Nasir

Norfarahana Nasir, pelajar, 20, pula berkata, beiiau berpuas hati dengan apa yang kerajaan telah sediakan termasuk bantuan pendidikan serta biasiswa.

Namun demikian, katanya, golongan graduan masih mempunyai kesukaran untuk mendapat pekerjaan, juga untuk latihan industri.

“Saya sendiri menunggu untuk ditawarkan melakukan latihan amali, elaun yang diberikan juga sangat rendah. Sebenarnya kami masih tidak mampu menyara diri sekiranya diberikan beberapa ratus. Mungkin boleh tambah baik dalam aspek itu,” katanya.

Sebagai generasi muda, Nurfarahana juga meminta golongan muda supaya tidak menyalah gunakan kebebasan bersuara yang telah diberikan sehingga menyebabkan isu kecil menjadi besar dan menghuru harakan perpaduan yang telah terjalin.

“Kita perlu hidup dalam keadaan harmoni dan bertolak ansur walaupun di bawah satu bumbung, hormatinya dan jangan gunakan agenda politik untuk menjejaskan keharmonian itu. Cukup-cukuplah segala drama politik yang berlaku kerana kebanyakan sudah semakin muak,” tambahnya.

Jason Lee

Jason Lee, 21, graduan lepasan ijazah meminta kerajaan bekerja lebih kerasa untuk memastikan perpaduan terpelihara dan kestabilan ekonomi.

Jelasnya, beliau tidak berbohong dengan mengatakan ekonomi negara ini  stabil kerana kesemuanya baik.

“Berbanding dengan banyak negara di luar sana, pada saya Malaysia sangat harmoni apatah lagi kita terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Mungkin kadang-kadang pandangan serta ideologi politik menyebabkan kita bergaduh sesama sendiri tetapi secara umumnya kita hidup aman damai.

“Kerajaan perlu bekerja lebih keras untuk memastikan perpaduan serta kestabilan yang dikecapi sebenarnya sentiasa kekal selamanya,” menurutnya.

Muhd Firdaus Ahmad

Muhd Firdaus Ahmad, 26, seorang promoter melahirkan harapan agar rakyat Malaysia terus hidup bersatu padu dan aman damai.

Menurutnya, Malaysia telah melakar pelbagai pencapaian dan  jangan biarkan anasir-anasir lain menjejaskan keharmonian.- MalaysiaGazette