Home Utama Susahnya hendak jumpa menteri – NUFAM

Susahnya hendak jumpa menteri – NUFAM

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) meminta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot bertemu dengan wakil kesatuan itu untuk menangani isu pembuangan  pekerja di syarikat-syarikat penerbangan.

Kesatuan itu mendakwa perkara itu telah dibincang pada bulan November setelah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kementerian Sumber Manusia.

Hasil dari perjumpaa tersebut, NUFAM telah dimaklumkan bahawa Menteri Sumber Manusia akan berjumpa pada awal bulan November lalu.

Tetapi lebih kurang sehari sebelum tarikh penemuan, menteri berkenaan memaklumkan tidak dapat hadir atas sebab urusan luar negara.

“Kami dimaklum Menteri akan berjumpa dengan NUFAM pada satu tarikh terdekat tetapi malangnya setelah hampir satu bulan tiada apa apa maklum balas diterima.

“Kata mahu bantu dan berjumpa untuk mendapat reaksi dan idea daripada NUFAM bagaimana boleh bantu pekerja yang masih hidup tidak menentu,” kata NUFAM dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

NUFAM berkata, pihaknya sudah cuba berusaha untuk merealisasikan pertemuan itu tetapi kecewa setakat ini masih gagal.

“Ahli-ahli kami sudah tunggu selama dua tahun untuk mendengar keputusan menteri dan berapa lama lagi pula hendak mereka tunggu untuk mendapat penjelasan daripada beliau? katanya.

NUFAM kecewa dengan respons yang diberikan sedangkan beribu-ribu pekerja di Malaysia sudah sengsara kerana kehilangan pekerjaan dan banyak kes tidak dirujuk ke mahkamah.

“Bukan isu pampasan atau wang yang pekerja mahu tuntut tetapi hanya menuntut keadilan dan hak mereka sebagai pekerja di negara ini,” tegas NUFAM.

Kesatuan itu turut mendakwa isu pekerja tidak pernah dibahaskan dengan betul di Parlimen termasuk meneliti semula undang-undang Akta Kerja dan masalah pekerja hilang pekerjaan juga tidak diberi perhatian sewajarnya.

Sama ada lambat atau cepat, NUFAM berkata, pihaknya akan terus membangkit isu dan masalah pekerja di syarikat penerbangan serta mahu kerajaan meneliti semua kes-kes pembuangan pekerja secara tidak adil. – MalaysiaGazette

Comments are closed.