Home Dunia Korea Utara tawar dialog dengan Korea Selatan

Korea Utara tawar dialog dengan Korea Selatan

SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un membuka jalan damai dengan menawarkan dialog kepada Korea Selatan, selepas negara itu memberi amaran kepada Amerika Syarikat untuk memulakan perang nuklear.

Jong-un mengisytiharkan negaranya sebagai pencinta kedamaian dan pemilik kuasa nuklear yang bertanggungjawab.

Justeru beliau menyeru supaya mengurangkan ketegangan tentera dan memperbaiki hubungan dengan Korea Selatan.

“Apabila menyentuh hubungan utara-selatan, kita perlu mengurangkan ketegangan tentera di Semenanjung Korea untuk mewujudkan persekitaran aman. Kedua-dua negara perlu berusaha,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mempertimbangkan untuk menghantar delegasi menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan, bulan depan.

“Penyertaan Korea Utara dalam Sukan Musim Sejuk dilihat sebagai peluang terbaik untuk mempamerkan kebanggaan negara dan kami berharap ia akan berjaya.

“Pegawai dari kedua-dua negara perlu mengadakan pertemuan segera untuk berbincang,” katanya menerusi menerusi ucapan tahun baharu.

Korea Selatan pada masa sama mengalu-alukan tawaran Jong-un.

“Kami kerap menyuarakan kesediaan untuk berdialog dengan Korea Utara pada bila-bila masa, demi membawa keamanan di Semenanjung Korea,” kata jurucakap Presiden Korea Selatan.

Terdahulu Trump memberi amaran dalam ucapan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, September lalu bahawa AS ‘tidak mempunyai pilihan selain memusnahkan Korea Utara sepenuhnya’ jika terpaksa mempertahankan diri atau sekutunya. -MalaysiaGazette