Para ibu bapa murid Tahun Satu setia menunggu anak mereka ketika menghadiri perhimpunan pagi pada hari pertama sesi persekolahan 2018 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Alam Damai, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kos pendidikan di peringkat rendah dan menengah bagi ibu bapa pada masa kini adalah percuma dengan kerajaan membelanjakan purata RM8,900 bagi setiap pelajar setahun.

Perdana menteri berkata menerusi Bajet 2018, kerajaan telah memperuntukkan dana besar bagi Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM45.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Ini termasuk bagi menyediakan bantuan persekolahan kepada lebih 5.2 juta pelajar di seluruh negara,” katanya dalam catatan di laman blog rasmi beliau, hari ini.

Najib berkata secara purata, perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah dua kali ganda berbanding perbelanjaan negara ASEAN yang mengukuhkan kenyataan betapa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah dan akan sentiasa menitikberatkan bidang pendidikan untuk rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, perdana menteri turut menzahirkan penghargaan beliau terhadap guru di seluruh negara bersempena permulaan sesi persekolahan tahun 2018 pada Isnin di empat negeri iaitu Johor, Terengganu, Kedah dan Kelantan dan Selasa di negeri-negeri lain.- BERNAMA