Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak memukul gong ketika melancarkan portal The Rakyat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN)¬†akan menggunakan portal theRakyat untuk menangkis tohmahan palsu parti pembangkang, dengan menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran untuk ‘berperang’ kelak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia merupakan wadah terpenting dalam menentukan kejayaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana kini media sosial adalah wadah utama untuk rakyat menerima segala maklumat dan membuat keputusan.

“Kita tahu media sosial sudah pun mengambil alih di kalangan rakyat. Kita juga tahu dalam PRU13 kita pernah menjadi mangsa kepada sebaran maklumat palsu tetapi hakikatnya berita palsu telah dijadikan senjata pembangkang yang sedikit sebanyak membawa kesan kepada BN,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN menyatakan demikian ketika berucap pada majlis pelancaran theRakyat di Pusat Dagangan Dunia Putra sini malam ini.

theRakyat memaparkan tujuh segmen utama iaitu temubual, majalah, analisis, e-rakyat, infografik, rakaman audio serta manifesto BN.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak tiba pada majlis pelancaran theRakyat sebagai portal rasmi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 JANUARI 2018.

Menurut Perdana Menteri, portal itu juga akan menyiarkan maklumat dan profail calon BN secara berperingkat sebelum tempoh berkempen bermula.

Tambah beliau, ia bagi membolehkan pengundi mengetahui barisan calon BN di 222 kerusi Parlimen.

Tambah Najib, paling utama untuk portal ini ialah menyiarkan manifesto BN kelak untuk tatapan rakyat.

Perdana Menteri berkata, selain itu portal BN ini akan menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam aspek penyampaian maklumat yang tepat dan cepat.

Rakyat juga jelas beliau, boleh menyampaikan pandangan menerusi penulisan artikel untuk dikongsikan di dalam theRakyat.

“Kita perlu mewujudkan satu platform yang boleh digunakan untuk menghubungi rakyat dan ini mestilah sahih beritanya tepat dan cepat. Pendek kata apa yang terkandung mestilah bersifat autoritatif.

“Portal ini akan bersifat interaktif rakyat boleh beri pandangan dan pendapat dan boleh menulis pendapat mereka untuk dimasukkan di portal ini,” ujar beliau.

Orang ramai boleh melayari theRakyat di alamat http://therakyat.com atau mengakses pelbagai platform sosial media termasuk Instagram dan Facebook. – MalaysiaGazette