NIBONG TEBAL – Lebih 100 orang terdiri daripada ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memenuhi pekarangan Mahkamah Majistret Jawi di sini pagi ini bagi memberi sokongan kepada seorang guru Noor Idzahril Ahmad, 52, yang didakwa mencederakan anak muridnya Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup, Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan kes itu disebut semula pada 19 Februari depan.

Keputusan itu berikutan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd Munir memohon tarikh baharu untuk penyerahan laporan perubatan murid lelaki tahun tiga berkenaan.

Pada 11 Disember lalu, Noor Idzahril mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun di Kelas 3 Bestari Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa, Nibong Tebal di sini pada 10 pagi 2 Ogos tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Peguam tertuduh, Mohd. Fadhly Yaacob, berkata, pihaknya memohon supaya kes ke atas Noor Idzahril dibuang berikutan sehingga kini pihak pendakwaan gagal mengemukakan laporan perubatan murid terbabit.

Malah, ujar beliau, pihaknya turut berpendapat pertuduhan itu masih di peringkat pramatang, sekali gus terlalu awal untuk anak guamnya diheret ke mahkamah.

“Laporan perubatan untuk kes ini masih lagi tidak dibekalkan walaupun hari ini sudah masuk kali ketiga sebutan semula kes.

“Asas kepada permohonan kami adalah elemen kecederaan itu perlu ada daripada awal bagi kes yang melibatkan Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya pihak pendakwaan masih gagal untuk mengemukakan laporan perubatan pada tarikh sebutan semula yang akan datang, pihak pembelaan akan memohon mahkamah supaya melepaskan tanpa membebaskan guru Bahasa Inggeris itu.

Antara yang turut hadir memberi sokongan kepada Noor Idzahril ialah Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa

Kes itu mendapat perhatian selepas seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan, Azizan Manap turut dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban 19 Disember lalu atas pertuduhan serupa. – MalaysiaGazette