Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan (kiri) membincangkan sesuatu dengan Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yasin (tengah) mengenai salah guna kuasa dan penyelewengan dana Kementerian Pendidikan Malaysia yang tersebar melalui laman Facebook di Suruhanjaya Komunikasi dan Maklumat Malaysia, Cyberjaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 JANUARI 2018.

CYBERJAYA – Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan menyangkal dakwaan seorang pengguna Facebook yang menuduh beliau ada kaitan dengan salah guna kuasa terhadap 39 projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Jelas Kamalanathan, beliau tidak mengenali individu yang dimaksudkan dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana syarikat.

“Saya dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia pada 16 Mei 2013, selepas penubuhan syarikat itu oleh Kementerian Kewangan iaitu tiga bulan selepas pelantikan syarikat tersebut oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

“Bukan itu sahaja, saya tidak mempunyai sebarang jenis pertalian darah dengan individu yang dimaksudkan dalam dakwaan tersebut,” katanya di perkarangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) hari ini.

Kamalanathan berada di SKMM bagi membuat laporan rasmi terhadap laman Facebook, TMM 2.0 extra, yang menyebut nama beliau sebagai individu yang bertanggungjawab dalam salah guna kuasa tersebut.

Laporan berkenaan diserahkan kepada  Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yasin.

Malah satu laporan polis terhadap pengguna Facebook akan dibuat esok.

Dalam tuduhan yang dimuatnaik awal hari ini menyebut, Kamalanathan adalah individu yang telah melantik seorang jururunding bernama ‘En Ragu’ iaitu saudara kepada ibunya untuk mendapatkan projek berkenaan.

Pengguna Facebook itu turut mendakwa RM20 juta sudah dibayar kepada syarikat perunding berkenaan.

Dalam perbentangan Bajet 2012 lalu, Perdana Menteri mengumumkan pembinaan 18 blok tambahan di SJKT dan 19 buah bangunan baharu SJKT melibatkan peruntukan RM100 juta.

Daripada 39 buah sekolah itu, 10 buah telah siap, sementara 14 sekolah telah siap dan menunggu sijil kelulusan daripada pihak berkuasa.

Manakala 13 buah sekolah lagi dalam proses pembinaan dan dua buah lagi masih dalam perancangan. – MalaysiaGazette

Comments are closed.