Kebanyakan percanggahan bagaimanapun berlaku antara PKR dengan DAP serta antara PKR, Pribumi dan PAN.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) Negeri Pahang mendesak agar Pakatan Harapan (PH) memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lebih kepada mereka.

Naib Pengerusinya, Zulkifli Mohamad berkata, parti itu wajar diberikan 14 kerusi DUN kerana PAN hanya diperuntukkan satu kerusi Parlimen iaitu Temerloh pada Konvensyen PH, Ahad lalu.

“Adalah wajar rakan parti dalam PH beri laluan kepada PAN untuk tiga kerusi DUN itu yang juga dituntut oleh PKR (2) dan PPBM (1).

“Setakat hari ini, apa yang kita pasti, diperingkat rundingan Pakatan Harapan (PH) kita minta 11 kerusi DUN sebagai ganti.

“Untuk 11 kerusi DUN ini sudah dimuktamadkan cuma kita akan minta tambah 3 kerusi DUN sebagai ganti kepada 2 parlimen yang hilang, kerana kerusi Parlimen yang kita tidak perolehi kita tidak memiliki sebarang kerusi Dun di situ,” ujarnya memetik laporan lidah rasmi parti itu, Malaysia Dateline hari ini.

Bagaimanapun, pembahagian 42 kerusi DUN id negeri itu masih di peringkat perbincangan.

Ditanya mengenai calon daripada PAN, Zulkifli berkata, parti pimpinan Mohamad Sabu itu sudah membariskan nama-nama yang sesuai untuk dikemukakan sebagai calon pada peringkat DUN pada PRU-14.

“Untuk calon tiada masalah. Boleh dikatakan kerusi yang dimuktamadkan (11) sudah tersedia calon yang memenuhi kretiria.

“(Ada) kumpulan yang educated dan sebahagian besar adalah bekas pegawai kerajaan, kita tiada masalah pembahagian kerusi, cuma yang masih ada tiga lagi pertindihan kerusi DUN dituntut PKR dan PPBM, itu sahaja,” katanya lagi.

Setelah pembahagian kerusi di peringkat Parlimen dimuktamadkan pada Ahad lalu, PPBM merupakan parti yang memperoleh kerusi terbanyak di Semenanjung dengan 52 kerusi, PKR (51), manakala DAP (35) kerusi.

PAN merupakan parti paling sedikit memperoleh kerusi dengan hanya 27 kerusi menyebabkan PAN Johor memboikot konvensyen tersebut kerana tidak puas hati dengan pembahagian kerusi oleh PH. -MalaysiaGazette.