Muhammad Aisy Zafran dikesan mengidap penyakit itu semasa berusia 32 hari dan perlu menjalani rawatan pemindahan hati secepat mungkin.

PUTRAJAYA – Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Itu beban yang ditanggung seorang bapa, Zainal Azman Mazlan, 35, apabila anaknya, Muhammad Aisy Zafran yang menderita penyakit kegagalan hati (biliary atresia).

Menurutnya, anaknya yang berusia tujuh bulan itu disyorkan menjalani pembedahan segera di Hospital Renji Shanghai di China.

Bagaimanapun kos kira-kira RM250,000 diperlukan tidak mampu dibiayai Zainal Azman.

Muhammad Aisy Zafran dilahirkan secara normal pada 18 Mei lalu dikesan mengidap penyakit itu semasa berusia 32 hari dan perlu menjalani rawatan pemindahan hati secepat mungkin.

“Doktor menasihatkan supaya anak saya menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji secepat mungkin dalam tempoh enam bulan dari sekarang,” katanya di sini hari ini.

Bekerja sebagai pembantu teknikal, beliau memberitahu, anaknya sebelum ini menerima rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Sebelum ini, anak saya telah menjalani pembedahan supaya hempedunya dapat mengalir dari hati terus ke usus tetapi keadaanya tidak berubah dan perutnya masih membuncit dan berurat selain kulitnya menjadi pucat kekuningan.

“Sebagai ayah, saya mahu yang terbaik untuk Muhammad Aisy Zafran dan melihat dia kembali sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain,” kata Zainal Azman.

Kini setiap hari, anaknya memerlukan kos kira-kira RM2,000 bagi ubat-ubatan.

Zainal Azman dan isteri, Nurul Aini Sulaiman, 35, juga telah membuat ujian darah untuk melihat sama ada mereka sesuai menjadi penderma hati kepada anak mereka.

Aisy Zafran merupakan anak ketiga mereka dan sehubungan itu orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank 512017516106 atas nama Zainal Azman atau menghubunginya di talian 019-242 4800.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast