Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Bukan sekadar pusat transit kepada penumpang yang mahu keluar negara melalui Singapura tetapi Johor sendiri sudah menjadi sebuah destinasi pelancongan utama.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Domestik dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, negeri tersebut telah menyaksikan pertumbuhan stabil ketibaan pelancong sejak 2013 dan sekali gus menjadikan sektor pelancongan sebagai pemain utama dalam pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, Jabatan Statistik menyenaraikan Johor sebagai salah satu destinasi pelancongan domestik pada 2016 dengan menerima ketibaan 7.4 juta pelancong tempatan.

“Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) telah menganugerahkan Tourism Johor dengan Anugerah Promosi Pelancongan Domestik Terbaik tahun lepas.

“Statistik Tourism Malaysia juga menunjukkan Johor menduduki tangga ketiga dari segi kemampuan menarik pelancong asing dengan 2.6 juta pelancong antarabangsa telah melawat negeri berkenaan pada 2016.

“Ini bermakna kesemua 10 juta pelancong telah melawat negeri berkenaan pada 2016 berbanding 3.9 juta pada 2012,” katanya semasa menyampaikan ucapan di sebuah majlis di sini hari ini.

Tambah beliau, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai turut mencatatkan tiga juta penumpang tahun lepas berbanding hanya 1.99 juta penumpang pada 2013.

Jelasnya, Johor kini dihubungkan melalui udara kepada 11 bandar dalam Malaysia dan lapan bandar di luar negara seperti Bangkok, Ho Chi Minh, Jakarta, Surabaya, Guangzhou, Macao, Kolkata dan Seoul.- MalaysiaGazette