Sebahagian mercun yang dirampas PPM Wilayah Dua dalam serbuan di sebuah kedia basikal di Kampung Ungku Mohsin, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Sebuah kedai basikal yang turut menjalankan aktiviti menjual mercun diserbu dan pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM28,000 dirampas dalam serbuan di Jalan Ahad, Kampung Ungku Mohsin di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, seorang lelaki berusia 42 tahun turut ditahan semasa serbuan dilakukan pihaknya di kedai berkenaan pada 2.30 petang.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam serbuan dijalankan seorang pegawai dan enam anggota itu, sejumlah kotak disyaki mengandungi pelbagai jenis mercum ditemui disimpan di dalam kedai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, barangan yang dirampas terdiri daripada 72 kotak mercun, 209 biji mercun dan 27 papan mercun.

Beliau berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, kegiatan menyimpan mercun yang dipercayai bagi stok untuk jualan sempena sambutan Tahun Baru Cina itu dilakukan dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai basikal.

Kedai basikal yang turut menjual pelbagai jenis mercun yang diserbu PPM Wilayah Dua di Kampung Ungku Mohsin, Johor Bahru, Johor.

“Suspek yang ditahan dan barangan yang dirampas dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua di Tampoi di sini bagi tindakan lanjut,” katanya kes itu disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957. – MalaysiaGazette