Home Nasional Farid Kamil tidak mengaku bersalah 4 pertuduhan

Farid Kamil tidak mengaku bersalah 4 pertuduhan

Farid Kamil Zahari

PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari hari ini didakwa dengan empat pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam di Balai Polis Kota Damansara pada Khamis lalu.

Farid mengaku tidak bersalah atas pertuduhan-pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Beliau dibawa ke majistret pagi ini selepas remannya berakhir hari ini.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid didakwa kerana menyebabkan kecederaan terhadap Asyraf Ahmad dan Konstabel Mohd Nizam Jamaludin.

Untuk pertuduhan-pertuduhan itu beliau didakwa mengikut Sekyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, pelakon itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Nizam dengan niat menghalang tugas polis, mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pendakwaan keempat, Farid didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Mohd Nizam sehingga boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan terhadap mangsa.

Farid didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau maksimum penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Kota Damansara pada jam 1.20 pagi pada 11 Januari lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faiq menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan yang dibacakan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Athari Baharudin meminta mengurangkan jaminan anak guamnya atas alasan mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret Nor Ariffin Hisham kemudian membenarkan Farid diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Majistret menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac ini. – MalaysiaGazette