Home Nasional Mahfuz disiasat di bawah Akta Hasutan

Mahfuz disiasat di bawah Akta Hasutan

Mahfuz Omar

ALOR SETAR – Datuk Mahfuz Omar hari ini hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi memberi keterangan berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan yang menghina Sultan Pahang.

Mahfuz yang tiba di Ibu Pejabat Kontinjen Alor Setar di Jalan Stadium bersama peguamnya Mohd Fikri Abd Rahman berkata, beliau dipanggil oleh polis petang semalam ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Mahfuz dalam ceramahnya baru-baru ini berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 92 tahun tidak salah dipilih sebagai calon perdana menteri dengan membandingkan Sultan Ahmad Shah yang kekal sebagai Sultan Pahang walaupun gering.

Ceramahnya tular dalam video.

Serentak itu, Pemuda UMNO Pahang menggesa tindakan undang-undang dikenakan terhadap Mahfuz kerana menghina dan menjadikan video Sultan Ahmad Shah yang sedang gering sebagai bahan jenakanya semasa ceramah politik.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam turut melahirkan kecewa dengan tindakan Mahfuz yang mempersendakan ayahandanya. – MalaysiaGazette