Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. foto IQBAL BASRI, 09 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dinasihatkan supaya lebih beradab dan tidak gila berpolitik sehingga menghina institusi raja, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, bekas pemimpin Pas yang baharu keluar parti itu supaya ingat batasan dalam berpolitik dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata provokasi.

“Tindakan mengheret institusi raja atas apa jua alasan dalam menjustifikasikan pendirian politik adalah suatu yang tidak beradab. Apatah lagi mempersendakan tuanku sultan,” beliau dipetik berkata.

Pada 17 Januari lalu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan kemurkaan terhadap ucapan Mahfuz dalam satu satu ceramah politiknya.

Kata Tengku Abdullah, baginda tersinggung dengan tindakan Mahfuz dan menganggap bekas naib presiden Pas itu melanggar tatatertib Melayu.

Menurut Asyraf, institusi raja-raja Melayu bukan sekadar simbol tetapi lambang kedaulatan agama dan martabat bangsa yang berpaksikan nilai moral dan adab tatasusila yang luhur bagi bangsa Melayu.

Justeru sebarang aksi dan tindakan berupa penghinaan kepada insitusi terbabit boleh dianggap sebagai pencabulan kepada kedaulatan dan martabat agama dan bangsa. – MalaysiaGazette