Noh Omar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak pernah mengambil berat kebajikan anak muda dan belia di negeri itu, apatah lagi berusaha memartabatkan aktiviti sukan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, ini terbukti apabila anak muda atau belia hendak beraktiviti, mereka tidak disediakan gelanggang atau kawasan yang sesuai.

“Malam tadi saya dengan anak muda pendekar Melayu Pusaka Gayong Selangor. Jiwa anak Melayu dengan silat tidak boleh dipisahkan. Silat juga salah satu platform untuk belia muda Melayu mengekalkan perpaduan antara kita.

“Walaupun mereka aktif, tapi saya lihat kebajikan belia di Selangor seolah-olah dipinggirkan kerajaan negeri,” katanya di sini, semalam.

Sehubungan itu, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang menyerahkan pengurusan Kompleks Belia dan Sukan di Seksyen 7, Shah Alam kepada pertubuhan belia untuk melancarkan mereka melaksanakan pelbagai program.

Katanya, cadangan itu akan menjadi kenyataan sekiranya rakyat Selangor memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri itu, sekali gus menamatkan pemerintahan PH, yang hanya pandai bercakap, tetapi gagal menunaikan janji.

Menurut Noh, kegagalan nyata kerajaan bawah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengurus pasukan bola sepak Selangor.

“Pasukan ini langsung tidak diberi pembelaan sehingga tidak dibenarkan bermain atau berlatih di Stadium Shah Alam.

“Ini berbeza BN Selangor, yang komited untuk memberi pembelaan kepada Pasukan Bola Sepak Selangor (PAS),” katanya yang turut berjanji akan pastikan Stadium Shah Alam menjadi gelanggang rasmi Red Giant jika memerintah nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.