Yasmin Mahmood

KUALA LUMPUR – Bagi meneruskan momentum ekonomi digital seluruh negara tahun ini, #YOUCANDUIT akan menggiatkan lagi usaha mengadakan kempen kesedaran sehingga ke kawasan pedalaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, tumpuan ke kawasan pedalaman itu bagi membuka laluan dan melatih isi rumah berpendapatan rendah agar dapat meraih peluang endapatan melalui alam digital.

“Setakat kempen #YOUCANDUIT ini turun padang ke seluruh negara sejak dua tahun lalu, ia menyaksikan sambutan yang menggalakkan di setiap negeri.

“Bahkan dalam tempoh itu, #YOUCANDUIT telah melatih lebih 300,000 rakyat di seluruh negara dengan lebih RM300 juta pendapatan sampingan telah dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian penutupan Jelajah #YOUCANDUIT dan Karnival CEO Desa di Istana Budaya hari ini.

Penutup karnival tiga hari bermula 19 Januari hingga hari ini disempurnakan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada majlis itu Shahrizat menyaksikan Muzikal #YOUCANDUIT yang dipersembahkan beberapa selebriti terkemuka seperti AR Badul, Enot, Dynas Mokhtar, Datin Umi Aida dan Nabila Huda di bawah pimpinan Erma Fatima.

Manakala sesi pengendalian perniagaan secara digital dan perkongsian dikendalikan rakan selebriti seperti Fattah Amin, Nabil Ahmad, Datuk Rosyam Noor, Fizo Omar dan Sifu Jamal (SifuBads).

Menurut Yasmin, antara rakan strategik yang telah dikenalpasti untuk memperkukuhkan misi dan visi #YOUCANDUIT tahun ini ialah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), IMAU dan National Council of Women’s Organisation (NCWO).

Jelas beliau karnival itu juga turut menyaksikan pelbagai aktiviti seperti sesi pengendalian perniagaan secara digital, penggunaan media sosial serta perkongsian dari rakan selebriti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MDEC sebelum ini dikenali sebagai Multimedia Development Corporation Sdn Bhd iaitu agensi utama di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dimandatkan untuk memacu pembangunan ekonomi digital negara.

Ujarnya, sejak penubuhannya 21 tahun lalu, misi MDEC adalah untuk memajukan ekonomi digital negara dan usahanya bertumpu kepada pelaburan, pemupukan bakat teknologi tempatan, pemangkin ekosistem inovasi digital serta penyebaran keterangkuman digital.

“MDEC juga bertanggungjawab memastikan Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha pembangunan ekonomi digital serta memupuk bakat baru untuk memacu inovasi digital di landasan dunia.

“Di samping itu, MDEC turut dimandatkan menarik penyertaan dan pelaburan daripada syarikat teknologi maklumat dan komunikasi global dalam usaha mempertingkatkan penyelesaian secara digital dan kreatif di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette