Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Selepas ditempelak ramai pihak mengenai kenyataan mengutuk langkah graduan menceburi perniagaan menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak menafikan kenyataan kecaman itu kepada umum.

Dalam Facebook rasminya hari, Mahathir menegaskan beliau tidak menghina sesiapa apabila membangkitkan mengenai isu graduan yang terpaksa terjun ke bidang perniangaan dengan menjual nasi lemak dan menjadi pemandu kereta.

“Ini bukan soal menghina sesiapa. Ada orang jual nasi lemak kerana itu cara mereka menyara hidup. Ada orang yang terpaksa bawa kereta Uber bukan kerana itu pilihan mereka.

“Mereka terlatih dalam bidang yang lebih tinggi di mana melayakkan mereka (apabila keluar) menjadi jurutera dan sebagainya,” katanya secara langsung dalam Facebook beliau hari ini.

Awal hari ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin jelas keliru dengan kenyataan bekas perdana menteri yang bertindak mengutuk pemilihan kerjaya para graduan universiti di negara ini.

“Saya tak faham kerana dia tulis buku panduan untuk peniaga kecil tapi bila ada orang nak berniaga dia akan kecam.

“Ini bukan kerana mereka yang memilih untuk berniaga ini terdesak, kadang-kadang mereka buat sebab tidak ada pilihan yang lain,” kata Khairy dalam satu sidang media di Kompleks Rapid Bus Cheras hari ini.

Mahathir, Rabu lalu berkata graduan negara ini begitu terdesak hingga terpaksa memilih bekerja sebagai penjual nasi lemak dan pemandu Uber. – MalaysiaGazette.