MUSCAT – Pengeluar-pengeluar minyak dunia akan terus bekerjasama selepas perjanjian pengurangan bekalan minyak berakhir tahun ini.

Menteri Minyak Arab Saudi, Khalid al-Falih berkata, mekanisme bagi kerjasama itu bagaimanapun belum diputuskan.

Tetapi jika inventori minyak terus meningkat pada tahun ini, pasaran menjangkakan pengeluar-pengeluar akan menimbang untuk melanjutkan perjanjian itu pada tahun berikutnya.

“Terdapat kesediaan untuk meneruskan kerjasama selepas 2018. Mekanisme itu belum dikenal pati lagi tetapi terdapat konsensus untuk diteruskan,” kata Falih selepas mesyuarat bersama jawatankuasa menteri.

Jawatankuasa itu membabitkan Arab Saudi, Kuwait, Venezuela dan Algeria, termasuk bukan OPEC – Rusia dan Oman.

Falih berkata, lanjutan rangka kerja melepasi tahun 2018 tidak bermakna ia menetapkan sasaran pengeluaran negara-negara terbabit.

Menurutnya, ekonomi global telah mengukuh sementara pemotongan bekalan telah menyebabkan inventori minyak di seluruh dunia merosot membolehkan pasaran minyak seimbang sehingga akhir tahun 2018 dan pada 2019.

Falih dan menteri-menteri tenaga dari Emiriah Arab Bersatu dan Oman mengakui kenaikan harga minyak Brent kepada paras tertinggi tiga tahun kepada AS$70 setong dalam beberapa minggu akan menyebabkan kenaikan bekalan minyak syal Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kenaikan harga minyak dunia akan menjejaskan permintaan ke atas minyak.

Tambah Falih, keseluruhan pematuhan pengurangan pengeluaran oleh OPEC dan bukan OPEC adalah 129 peratus pada bulan Disember. – MalaysiaGazette