Home Nasional Malaysia mampu tangani krisis lebih baik

Malaysia mampu tangani krisis lebih baik

Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Malaysia dapat menangani krisis yang dihadapinya dengan lebih baik berbanding banyak negara lain, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, dengan dunia sedang berdepan pelbagai krisis, Malaysia turut menerima kesannya.

Namun, beliau berpendapat penyelesaian kepada krisis bukanlah dengan mengambil jalan mudah seperti mengubah kerajaan atau Perdana Menteri.

“Pakatan Harapan memberitahu rakyat bahawa Malaysia sedang menghadapi krisis politik dan ekonomi, dan satu-satunya cara untuk mengatasi masalah itu adalah dengan menukar kerajaan atau menggantikan Perdana Menteri,” katanya dalam catatan di blog sskeruak.blogspot.my.

Merujuk kepada Amerika Syarikat dan United Kingdom, beliau berkata, kedua-dua negara itu merupakan contoh demokrasi barat dengan Amerika Syarikat mengamalkan sistem kerajaan republik manakala United Kingdom melaksanakan pemerintahan raja berperlembagaan Westminster.

“Kedua-duanya mengalami krisis ekonomi dan politik,” katanya sambil memberitahu bahawa kerajaan kedua-dua negara itu juga sedang menghadapi krisis keyakinan dan berusaha untuk kekal relevan.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata, tindakan menukar kerajaan yang dilakukan di Amerika Syarikat dan United Kingdom bukan sahaja tidak menamatkan krisis politik dan ekonomi yang dihadapi mereka, malah menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

“Apa yang berlaku di bahagian dunia lain juga memberi kesan kepada Malaysia. Ini bermakna, penyelesaian bukanlah dengan mengambil jalan mudah seperti menukar kerajaan atau Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette