Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri) mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan perlancaran GST Compliance Assurance Programme (GCAP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 24 JANUARI 2018.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melaksanakan Program Malaysia GST Compliance Assurance Programme (Program Jaminan Pematuhan GST Malaysia – MyGCAP) menjelang suku kedua tahun ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia merupakan inisiatif perkongsian bestari antara Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dan syarikat yang berdaftar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi meningkatkan pengurusan risiko dan pematuhan GST.

“Buat permulaan, pelaksanaan MyGCAP ditawarkan kepada syarikat-syarkat awam atau Syarikat senaraian awam (PLC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebelum diperluaskan kepada syarikat-syarikat lain secara berperingkat.

“Pemegang status MyGCAP akan menikmati kemudahan layanan istimewa dalam permohonan pulang balik dan pembaharuan skim khas seperti Skim Pedagang Diluluskan atau ATS dan juga kemudahan lain.

“Program ini dilancarkan dan akan dilaksanakan bertujuan untuk menggalakkan orang berdaftar GST dengan secara sukarela, mengurus risiko GST serta memperbaiki pematuhan melalui satu rangka kerja kawalan GST yang sangat berkesan dan mantap,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang tadi.

Hadir pada majlis Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy.

Sementara itu, JKDM akan melantik juruaudit luaran untuk pergi ke syarikat-syarikat yang mendaftar MyGCAP bagi membolehkan mereka membuat pengisytiharan sendiri.

“Buat masa sekarang Kastam terpaksa semak dan memeriksa secara manual tuntutan setiap syarikat berdaftar GST supaya elak penipuan atau tuntutan terlampau tinggi dan palsu.

“Dengan Program MyGCAP, setiap dua tahun sekali syarikat juruaudit luaran yang dilantik Kastam akan bertanggungjawab mengaudit syarikat berdaftar dengan MyGCAP.

“Sistem ini akan memudahkan aliran tunai sesebuah syarikat itu dari segi tuntutan semula GST tanpa protokol dokumentasi dan semakan ketat kastam, sekali gus melancarkan perniagaan mereka,” tegasnya.

Dalam pada itu Johari menegaskan, JKDM sentiasa memantau keselamatan pegawai penguatkuasanya yang sentiasa terdedah dengan pelbagai ancaman semasa bertugas.

“Kebanyakan barang negara yang mempunyai nilai duti tinggi iaitu alkohol dan rokok menjadi sensitif kepada operasi Kastam sehingga mendedahkan kepada risiko ancaman demi tugas negara.

“Dalam hal ini kita sentiasa memantau supaya tidak mahu operasi sindiket gelap ini tidak menjejaskan keberkesanan polis semasa bertugas,” ujar beliau.

Semalam, empat kenderaan milik Penolong Kanan Pengarah Kastam Penguatkuasaan GST, Nor Azman Mat Jini rosak yang mana dua daripadanya musnah dalam kebakaran dipercayai perbuatan khianat di kuaters Precint 11, Putrajaya.

Menurut Johari, pihaknya masih menunggu siasatan polis sebelum memikirkan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette