Teh Yee Cheu

PULAU PINANG – Wakil rakyat DAP, Teh Yee Cheu terus menerima tekanan daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang kali ini menerusi pemecatan lima kakitangan yang bertugas di pusat khidmatnya di Tanjung Bungah di sini.

Menurut Yee Cheu, lima kakitangannya itu menerima surat pemecatan masing-masing daripada daripada Jabatan Sumber Manusia, Kerajaan DAP Pulau Pinang pada 21 Januari lalu.

Tambahnya, menerusi surat bertarikh 19 Januari itu, kesemua mereka perlu melepaskan jawatan masing-masing dalam tempoh 30 hari iaitu sebelum 18 Februari ini.

Ujar Yee Cheu, beliau sudah dapat menjangkakan pemecatan kakitangannya itu namun tidak menjangkakan ia dilakukan dalam tempoh terdekat.

Apatah lagi, ujar beliau, pemecatan itu dilakukan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina selain dibuat tanpa sebarang alasan yang kukuh.

“Memang saya cukup terkilan dan sedih dengan nasib yang menerima kakitangan saya ini, namun saya akan berusaha mencari jalan terbaik bagi membantu mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang kakitangan Yee Cheu yang enggan dikenali menyifatkan pemecatannya tanpa sebarang alasan kukuh sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

Apatah lagi, ujarnya, terdapat kakitangan yang dipecat itu sudah bekerja membantu penduduk di pusat khidmat Tanjung Bungah sejak penggal pertama Yee Cheu menjadi wakil rakyat.

“Malah, ada yang merupakan ahli seumur hidup DAP tetapi diperlakukan sedemikian rupa dan mereka juga sudah berikrar akan keluar daripada DAP disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Tekanan terhadap Yee Cheu yang sebelum ini sering mengkritik Kerajaan DAP Pulau Pinang semakin ketara selepas beliau minggu lalu dinafikan peruntukan tahunan sebanyak RM200,000 bagi membantu penduduk memerlukan di kawasan yang diwakilinya.

Terdahulu, beliau turut dilarang daripada menguruskan bantuan banjir besar berjumlah RM700 untuk penduduk di kawasannya yang terjejas dengan bencana itu pada awal Oktober dan November lalu.

Segala urusan membabitkan peruntukan dan kerja-kerja wakil rakyat di Tanjung Bungah ketika ini diletakkan di bawah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.