Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melihat gerabak keretapi pada Majlis Penyerahan Gerabak dan Landasan Keretapi kepada UNIKL di UNIKL Asia Rail Centre, Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 29 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – UniKL Asia Rail Centre menjadi universiti pertama menerima dua gerabak dan empat landasan keretapi yang akan digunakan sebagai alat pembelajaran pelajar di institut tersebut.

Ia hasil daripada Program Kolaborasi Industri (ICP) antara kerajaan Malaysia dengan dua syarikat pembekal projek MRT.

Gerabak dan landasan berjarak 18 meter itu diberikan oleh CRRC Zhozhou Locomotive Co (CRRC) dan Mitsubishi Heavy Industries (MHI).

Dibawah program tersebut kedua-dua pembekal perlu mematuhi syarat ICP yang diselia oleh Agensi Depositori Teknologi (TDA).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyerahan gerabak dan landasan tersebut akan dapat melatih pelajar untuk berdepan dengan situasi sebenar semasa berada dalam industri.

“Saya difahamkan kerjasama dengan CRRC dari China dan MHI dari Jepun dengan UniKL adalah hasil daripada pelaksanaan yang melibatkan teknikal dan pemindahan kepakaran antara universiti dengan pemain industri antarabangsa.

“Projek ini akan membantu UniKL dalam membangunkan pendidikan tinggi kejuruteraan keretapi selain menyediakan pekerja berkemahiran tinggi dalam industri keretapi,” kata beliau semasa berucap pada majlis penyerahan gerabak dan landasan keretapi hari ini di kampus UniKL Rail Centre hari ini.

Menurut Ismail Sabri, menerusi program ICP, ia berjaya memberikan nilai tambah ke atas perolehan yang diberikan kerajaan kepada pembekal.

“Negara sedang menjalankan banyak projek-projek melibatkan keretapi, seperti Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan sebagainya… jadi kita tidak mahu ketinggalan daripada menyediakan peluang pekerjaan.

“Kita tidak mahu ambil pekerja luar dan ketinggalan dalam menyediakan peluang pekerjaan… sebab itu kita mulakan inisiatif ini untuk melatih pelajar di institut ini,” katanya lagi.

ICP digunakan sebagai salah satu pendekatan bagi memperkukuh sosioekonomi negara berasaskan pembangunan mapan bagi menaik taraf kebolehupayaan dan kapasiti negara.

Keutamaan diberi kepada aktiviti yang melibatkan pembangunan dan pemerkasaan industri tempatan dalam sektor terpilih ke arah mencapai status negara maju.

ICP dilihat sebagai satu strategi pelaburan jangka panjang dalam membangun dan mengukuhkan pelbagai industri di Malaysia.
Pelaksanaan ICP adalah satu usaha Kerajaan Malaysia untuk membuka peluang kepada industri tempatan di pasaran antarabangsa.

Ia juga dapat dijadikan sebagai batu loncatan kepada industri tempatan untuk terlibat dalam aktiviti Rangkaian Bekalan Global (Global Supply Chain).

Oleh itu, pelaksanaan ICP perlu mengambil kira kepentingan semua pihak untuk memastikan impak lebih menyeluruh.

Justeru, Penyedia ICP perlu bekerjasama dengan Kerajaan dalam pelaksanaan ICP supaya memperoleh manfaat dalam usaha pembangunan negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bukan 2 projek MRT. Sepatutnya satu perolehan Prasarana dengan CRRC dan perolehan MRT dengan MHI.

Comments are closed.