Abdul Halim Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) memohon campur tangan Yang diPertuan Agong untuk memberikan nasihat berhubung kes tuntutan anak seorang mualaf di Perak baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Halim Abdul Kadir berkata, walaupun mahkamah memutuskan supaya hak penjagaan diberikan kepada isteri, M. Indira Gandhi tetapi perlu dipastikan anak-anak tersebut tidak kembali kepada agama ibunya yang bukan Islam.

“Dalam menangani isu ini yang agak sensitif dalam kalangan penganut agama, PUM ingin memohon perkenan YDP Agong untuk memberikan nasihat terutama apabila ia melibatkan status pengislaman seseorang.

“Pastinya kita tidak boleh membiarkan anak-anak tersebut yang telah Islam untuk dikembalikan kepada agama ibunya yang bukan Islam,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Halim juga memohon jasa baik supaya pihak polis tidak memburu anak mualaf tersebut, Muhammad Ridhuan Abdullah sehingga mencapai satu penyelesaian bersama kerana dibimbangi akan berlaku konflik antara agama.

“Oleh itu, PUM meminta jasa baik pihak polis supaya tidak memburu bapa tersebut dan anak-anaknya, sehingga satu penyelesaian bersama dapat dicapai.

PUM bimbang sekiranya ia dilakukan, ada kemungkinan akan berlaku konflik antara penganut agama di negara ini sehingga mungkin berlakunya keganasan (violence) dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya kerajaan mengambil langkah segera dengan menangani isu ini daripada menjadi tindakan provokatif pihak tertentu dalam negara.

“Kepimpinan negara juga perlu membuat satu tindakan segera bagi mengawal perkara ini agar tidak dijadikan penyebab kepada tindakan-tindakan provokatif di dalam negara,” ujarnya lagi.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika itu oleh bekas suaminya, Muhammad Ridhuan yang berlangsung hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny, 21, Karan Dinish, 20 dan Prasana Diksa 9, kepada Islam.

Menerusi 99 mukasurat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf. – MalaysiaGazette