Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (tiga kiri) serta Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (dua kiri) dan Ketua Pemuda UMNO, Khiary Jamaluddin (kiri) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 30 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak wajar mempersoalkan ketelusan sistem pilihan raya negara ini memandangkan sistem sama digunakan mengangkatnya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri menyifatkan desakan Mahathir yang dibuat semasa pertemuan dengan Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini sebagai suatu yang aneh.

“Malah sistem ini diangkat menjadi lebih telus berbanding dahulu,” kata beliau yang juga Presiden UMNO semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini.

Najib juga membuat perbandingan sistem pilihan raya semasa zaman Mahathir dimana beberapa pembaharuan dilakukan seperti  adanya ejen mengundi, ejen pengiraan undi dan dakwat kekal.

“Jadi, peluang nak menipu tidak ada langsung, jadi macam mana boleh kata pilihan raya tidak adil?

“Kenapa 22 tahun (Mahathir) tidak komplen sistem itu, sistem sama yang kita gunakan,” ujarnya lagi.

Pada minggu lalu, Mahathir bersama pemimpin blok Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil duta Kesatuan EU, langkah yang sebelum ini tidak pernah dibenarkan oleh beliau sendiri semasa menjadi perdana menteri.

Dalam pertemuan itu, Mahathir yang juga Pengerusi PH mendesak Kesatuan EU supaya memberi tekanan kepada kerajaan untuk memastikan Pilihan Raya Umum Ke-14 dijalankan secara bersih dan adil.

Pelbagai pihak mengecam dan membidas Mahathir dan PH yang mengadakan pertemuan tersebut pada ketika Kesatuan EU sudah membuat keputusan untuk memboikot kepala sawit negara yang merupakan sumber pendapatan utama kepada ekonomi negara. – MalaysiaGazette

Dulu Tun M sendiri sekat pembangkang jumpa duta