KUALA LUMPUR – Ketika memegang tampung kerajaan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyekat pembangkang daripada bertemu duta-duta luar negara kerana takut mengugat kuasanya, dedah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin Tun Hussien

Hishammuddin menyifatkan tindakan bekas perdana menteri itu yang mengadakan pertemuan dengan duta negara Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis lalu sebagai pemimpin yang bercakap tidak serupa bikin walhal beliau sebelum itu yang paling banyak menekan pembangkang ketika memerintah negara.

“Masa dulu lagi teruk apabila beliau pernah menyekat duta daripada berjumpa menteri, walaupun sudah dijelaskan tidak akan ada perbincangan politik sebaliknya hanya isu dua hala tetapi tetap dihalang.

“Apa lagi jika pembangkang mahu bertemu duta luar, Mahathir akan marah dan melakukan pelbagai cara untuk menghalangnya daripada berlaku.

“Namun Khamis lalu pula, beliau pula buat apabila bertemu dengan 16 duta EU tanpa halangan. Bagi saya, Mahathir seorang pemimpin yang cakap tak serupa bikin. Maknanya, apa yang beliau cakap dulu tidak ada makna langsung,” beliau dipetik berkata hari ini.

Hishammuddin mengulas tindakan Mahathir dan pemimpin pembangkang yang mengadakan pertemuan dua jam dengan duta EU dan menggesa mereka mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) secara bersih dan adil.

Pertemuan berkenaan turut dihadiri Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pertemuan di kediaman Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez. – MalaysiaGazette