Awang Adek Hussin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Awang Adek Hussin menyifatkan isu pangsapuri Unilodge di Australia melibatkan Mara Incorporated Sdn Bhd yang dibangkitkan oleh beberapa media baru-baru ini sengaja dihangatkan semula berikutan pilihan raya umum ke-14 semakin hampir.

Katanya kes melibatkan bangunan 12 tingkat di 746 Swanston Street, Melbourne yang dijadikan tempat penginapan pelajar itu pernah dibangkitkan media pada 2015.

“Kes tersebut sudah lama diviralkan. Barangkali oleh kerana pilihan raya kita semakin hampir, jadi kes seperti ini cuba dihidupkan dan dihangatkan kembali seolah-olah berlaku salah laku dalam kalangan pegawai Mara dan sebagainya,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata Mara akan menyokong apa juga tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa berkenaan dan agensi tersebut tidak akan melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam salah laku.

Terdahulu dalam kenyataan hari ini, beliau berkata Mara telah menyerahkan segala dokumen berkaitan isu tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan akan memberi kerjasama penuh kepada suruhanjaya itu.- BERNAMA