Syarul Ema Rena Abu Samah

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa telah mengambil keterangan wanita yang menggunakan profil Facebook ‘Ratu Naga’ atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah berhubung sebuah video yang mendakwa warga Bangladesh diberi kad pengenalan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata Syarul Ema Rena hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini susulan notis yang dikeluarkan suruhanjaya tersebut.

MCMC mengeluarkan notis terhadap wanita itu menerusi suaminya setelah usaha mengesannya di sebuah premis di Jalan Klang Lama di sini, gagal, demikian menurut kenyataan tersebut.

Menurut MCMC, keterangan wanita tersebut diambil menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Pegawai Operasi MCMC Datuk Dr Mazlan Ismail dilaporkan berkata MCMC telah menerima aduan mengenai penyebaran video tersebut dan siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama polis bagi mengenal pasti individu yang terlibat.- BERNAMA

Ratu Naga dipanggil beri keterangan diIPD Petaling Jaya esok