Bekas Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh

KUALA LUMPUR – Seorang ‘Datuk Seri’ dan tiga ‘Datuk’ antara enam ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan emas dan minyak (oil bunkering) yang mengakibatkan kerugian RM27.5 juta di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 26 Jan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata kesemua suspek berusia 42 hingga 62 tahun itu ditahan selepas polis menerima 193 laporan di seluruh negara membabitkan sindiket berkenaan sejak Oktober 2015 hingga Disember 2017.

“Suspek ditahan terdiri daripada pengarah syarikat dan penganjur skim berkenaan manakala sindiket itu menjalankan operasi mereka dengan menawarkan dua pelaburan utama iaitu jual beli jongkong emas serta minyak dengan memberi pulangan lumayan bagi tempoh sembilan bulan.

“Bagi skim pelaburan jongkong emas, pelabur dijanjikan pulangan lumayan dua peratus sebulan, manakala pelaburan minyak sebanyak 15 peratus setiap bulan, juga bagi tempoh sembilan bulan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek juga mendakwa mereka mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja serta orang kenamaan bagi menambah keyakinan pelabur terhadap skim itu.- BERNAMA