Seorang pengamal perubatan Islam disyaki mencabul seorang wanita yang sedang mendapatkan rawatan.

SONGKLA – Polis Thailand menahan tiga rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang sedang mengandung di Hatyai kerana dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan pusat panggilan.

Ketua Polis Imigresen Songkla, Mejar Jeneral Jeksada Yaisoon berkata, ketiga-tiga rakyat Malaysia itu dan seorang penduduk tempatan ditahan ketika mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang (ATM) di Hatyai pada 4 petang semalam (waktu tempatan).

“Mereka bertanggungjawab mengeluarkan wang daripada mesin ATM atas arahan sindiket dan diberikan komisen dua peratus bagi setiap sejumlah wang yang dikeluarkan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki rakyat Malaysia itu berumur 43 dan 28 tahun manakala wanita sedang mengandung itu berumur 26 tahun berasal dari Ipoh, Perak dan dipercayai baru sahaja bekerja dengan sindiket penipuan terbabit selama dua bulan.

Keempat-empat mereka ditahan di Balai Polis Hatyai untuk siasatan lanjut.

Selasa lalu, seorang warga Malaysia berusia 38 tahun telah ditahan di Bangkok dan dipercayai bekerja di pusat panggilan sindiket penipuan.

Menurut polis Thailand, suspek memberitahu, dia diberikan komisen empat peratus untuk setiap jumlah yang dikeluarkan dari ATM dan akan meninggalkan Thailand sebaik sahaja menyelesaikan tugasnya. – MalaysiaGazette