Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2018.

PUTRAJAYA – Akujanji kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dibuat pada lima tahun lepas hampir berjaya mencapai pelaksanaan keseluruhannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keberhasilan itu adalah disebabkan kerjasama erat dalam kalangan penjawat awam dengan pimpinan.

“Satu hubungan yang kita perlu terus pelihara dan mantapkan lagi kerana penjawat awam adalah tulang belakang yang kita harapkan untuk mencapai cita-cita besar buat Malaysia,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini. .

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sudah banyak kejayaan dicapai oleh negara dengan yang terbaharu, Forum Ekonomi Dunia meletakkan Malaysia sebagai negara Asia terbaik dalam Indeks Pembangunan Inklusif (IDI).

Katanya, Malaysia berada pada kedudukan ke-13 di dunia dan pertama di Asia, manakala China di tempat ke-25 dan India berada di nombor yang ke-62.

Tambah beliau, nilai Ringgit turut mengukuh dengan melepasi paras psikologi RM4 pada 5 Januari lepas dan menjadi antara mata wang yang mencatat prestasi terbaik di dunia.

Ujarnya, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Seri Ranjit Ajit Singh memaklumkan pengukuhan nilai Ringgit itu disumbangkan oleh kemasukan dana asing kerana keyakinan terhadap dasar-dasar negara, selain kenaikan harga minyak.

“Inilah sentimen yang kita dapat lihat, dan tahun ini kita akan laksanakan Bajet 2018, yang bersifat inklusif, ada sesuatu untuk semua dalam bajet ini,” katanya. – MalaysiaGazette