Ketua Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berucap ketika hadir ke program Ziarah Sayang sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Jagaan Warga Emas Selangor King George V, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Jentera Wanita Barisan Nasional (BN) telah menyerahkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kepada pucuk pimpinan dan mencadangkan pusat penjagaan warga emas, kanak-kanak dan pusat aktiviti komuniti di negara ini dintegrasikan.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, langkah itu dicadangkan supaya dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memperjuangkan nasib warga emas menjelang tahun 2030.

“Saya sudah menyerahkan manifesto kepada PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) supaya memberi pertimbangan untuk wanita yang diperjuangkan wanita BN iaitu apabila BN mendapat mandat menjadi kerajaan semula, salah satu inisiatifnya ialah meminta semua pembangunan mesti ada pusat komuniti yang mengintegrasikan pusat jagaan warga emas, kanak-kanak dan pusat aktiviti komuniti.

“Langkah ini perlu diberi pertimbangan dan perlaksanaan yang serius kerana saya melihat hari ini banyak pusat yang dikhususkan untuk warga emas agak menyedihkan kerana mereka duduk keseorangan dan sunyi.

“Kalau ada pusat jagaan warga emas ini diintegrasi bersama pusat jagaan kanak-kanak, walaupun mereka berada pada tahap menua tetapi mereka akan sentiasa diisi keceriaan bersama kanak-kanak dan aktiviti komuniti bagi mengisi masa lapang mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Barang Keperluan dan wang tunai sempena Tahun Baru Cina 2018 kepada 125 warga emas wanita di Pusat Penjagaan Warga Emas Selangor King George V Silver Jubilee di Jalan Loke Yew di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, Shahrizat juga mengumumkan sumbangan kewangan jentera Wanita BN berjumlah RM10,000 kepada pusat jagaan yang kini menjangkau usia 73 tahun itu.

Beliau yang sempat melawat pusat jagaan warga emas itu memuji lembaga pengurusannya yang berjaya menjaga pusat berkenaan  dengan pelbagai aktiviti harian.

“Walaupun mereka warga emas, kami wanita emas percaya perlu diberi perhatian dan harap manifesto ini diberi pertimbangan PM.

“Insya Allah beliau (PM) berjanji mempertimbangkan dan akan membuat pengumuman apabila tiba masanya,” tegasnya. – MalaysiaGazette