Menteri Kesihatan, Datuk Seri S.Subramaniam bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Pelancaran Minggu Kanser Sedunia di Shantanand Auditorium, Temple of Fine Arts, Brickfields, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Ikrar Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membela kaum India di negara ini diselar  Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Katanya,  bekas perdana menteri yang kini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sepatutnya berbuat demikian sewaktu menjadi pemimpin negara.

“Kita (kaum India) rasa gembira kalau beliau dapat lakukannya pada 22 tahun dahulu.

“(Kebajikan) Komuniti India akan menjadi lebih baik daripada sekarang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Kanser Sedunia di Temple of Fine Arts di Brickfields hari ini.

Tambah Menteri Kesihatan itu lagi, Mahathir terlepas peluang keemasan yang sepatutnya dilaksanakannya sebelum ini.

“Ia sudah terlambat. Beliau mempunyai peluang berbuat demikian tetapi beliau tidak melakukannya,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ikrar bekas perdana menteri ketika berucap di hadapan kira-kira 300 kaum India pada sambutan Perayaan Ponggal di Kapar, Klang semalam iaitu mahu memastikan akan membela kebajikan minoriti itu jika memenangi pilihan raya nanti. – MalaysiaGazette