Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri Ranjit Ajit Singh (kiri) dan Pengerusi Institute for Capital Market Research (ICMR), Prof. Datuk Dr. Hassan Said (kanan) merasmikan 'Institute for Capital Market Research' (ICMR) sempena Simposium Pasaran Modal Dunia (WCMS) 2018 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 06 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR- Malaysia dan Singapura akan mewujudkan sebuah pautan dagang, Malaysia-Singapore Connect antara pasaran saham di kedua-dua negara menjelang hujung tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, Malaysia-Singapore Connect akan membolehkan para pelabur untuk membuat dagangan saham di kedua-dua bursa yang memiliki kombinasi pasaran modal sebanyak AS$1.2 trilion dengan lebih mudah, cekap dan menjimatkan kos.

Ini akan memberi lebih banyak kelebihan kepada pelabur runcit, katanya.

“Selepas beberapa perbincangan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kami berdua bersetuju bahawa pasaran saham Malaysia dan Singapura sudah mencapai tahap yang mencukupi, moden dan matang untuk kami bina sebuah koridor pasaran yang menghubungkan Malaysia-Singapura yang melibatkan kedua-dua bursa.

“Ini adalah untuk menambah manfaat yang bakal diperolehi oleh kedua-dua negara di samping membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua ekonomi.

“Inisiatif yang sangat menarik ini akan meluaskan lagi pilihan pelaburan kepada para pelabur di samping menyumbang kepada aktiviti yang lebih besar dan meriah kepada kedua-dua pasaran,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Simposium Pasara Modal Dunia di sini hari ini.

Jelas Najib, kerja-kerja membabitkan regulatori Malaysia-Singapura Connect sedang dijalankan oleh pihak-pihak berkuasa regulatori berkenaan dari kedua-dua negara.

Hubungan bilateral di antara kedua-dua bursa ini akan merangkumi penyususan pasca-dagangan seperti penyelesaian saham yang telah didagangkan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) bertanggung jawab mewujudkan badan pemantauan rentas sempadan serta aturan penguatkuasaan.

Pengerusi SC Tan Sri Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC berkata, penubuhan pautan dagangan itu merupakan langkah penting untuk menggalakkan pelabur ASEAN sendiri melabur di ASEAN.

“Kemudahan akses yang disediakan kepada pelabur akan merancakkan lagi pasaran kita.

“Apabila mula beroperasi, inisiatif perintis ini akan menjadi asas kepada keterhubungan dalam kalangan pasaran ASEAN pada masa hadapan,” katanya semasa sidang media selepas itu.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Urusan MAS, Lee Boon Ngiap, Malaysia-Singapore Connect akan menggalakkan lebih banyak pelaburan rentas sempadan dalam saham-saham yang disenaraikan di bursa masing-masing dan sekaligus akan meningkatkan kecairan kedua-dua pasaran saham.- MalaysiaGazette