Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Taman Muda Selangor, Chow Chee Keen (kiri) dan Wakil Penduduk Taman Muda Selangor, Ng Man Seng menunjukkan tapak projek yang sepatutnya dibangunkan kompleks pasar 5 tingkat di Pasar Pagi, Taman Muda, Ampang. foto SAFWAN MANSOR, 09 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Taman Muda Selangor, Chow Chee Keen kesal dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Teratai, Tiew Wey Keng yang menyaman beliau berhubung isu pembinaan pasar penjaja di Taman Muda di sini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Keen yang mewakili lebih 400 peniaga di pasar berkenaan menyifatkan tindakan saman oleh ADUN berkenaan ke atas dirinya itu tidak adil kerana beliau hanya menjadi wakil menyuarakan keluhan peniaga di pasar tersebut.

“Dia (Wey Keng) hanya menyaman saya seorang dan bukannya terhadap persatuan. Apa yang dilakukan itu seolah-olah macam dia berdendam kepada saya.

“Malah, dia turut menggunakan beberapa individu mengganggu isteri saya dengan meminta agar saya mengunci mulut daripada sebarang tindakan,” katanya.

Menceritakan mengenai kisah yang berlaku, semua itu berpunca daripada sikapnya yang mengambil langkah tidak berdiam diri selepas sebidang tanah yang diwarta untuk dibangunkan menjadi sebuah pasar basah lima tingkat kini dalam pembinaan sebuah pusat hiburan.

Katanya, peniaga-peniaga di pasar pagi di Taman Muda di situ telah lama mengeluh ekoran kurang selesa kerana aktiviti menjaja yang dijalankan terletak di tepi jalan hingga menyukarkan pergerakan lalu lintas.

Tambahnya, disebabkan itu peniaga dan penjaja mahu sebuah penempatan untuk berniaga disediakan demi keselesaan selain faktor keselamatan.

“Memang ada sebuah tanah kosong di sini yang sepatutnya diguna untuk membina sebuah pasar.

“Tetapi kami kecewa selepas mendapati bangunan yang sedang dalam pembinaan ketika ini sebenarnya mahu dijadikan sebagai sebuah pusat hiburan.

“Kita telah hantar memorandum bantahan kepada wakil Wey Keng selaku wakil rakyat dan membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan dapat diambil. Kami yakin ada perkara yang tidak kena telah berlaku,” ujarnya.

Keen berkata, satu pertemuan dan dialog dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya bersama peniaga-peniaga dan penjaja pasar pagi di situ turut pernah diadakan dan pihak berkuasa berkenaan telah memberi penjelasan bahawa tanah kosong berkeluasan 2.5 ekar di situ adalah untuk untuk kegunaan bagi membangunkan sebuah pasar basah.

“Namun kami hairan bagaimana tanah yang telah digazet untuk membina sebuah bangunan peniaga di dalam pelan pembangunan boleh diubah menjadi sebuah pusat hiburan.

“Kami peniaga di sini sudah menjalankan aktiviti perniagaan lebih 30 tahun lalu dan sudah tiba masanya kami mendapatkan tempat berniaga yang lebih selesa selain menyenangkan pelanggan.

“Wakil rakyat kenalah tolong kami tapi apa yang berlaku menjadi sebaliknya.

“Kalau inilah jadinya kami peniaga-peniaga akan tolak wakil rakyat ini pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” tegasnya.

Sementara itu, seorang penduduk Ng Mun Seng, 39, mendakwa, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku salah guna kuasa oleh wakil rakyat di kawasan tersebut.

Katanya, apa yang berlaku menunjukkan sikap sebenar pemimpin masyarakat di kawasan berkenaan yang seolah-olah tidak ambil peduli dengan nasib rakyat yang merupakan pengundi-pengundinya.

“Kami mahukan seorang wakil rakyat yang boleh membela nasib dan bukannya mereka yang cuba ambil kesempatan. – MalaysiaGazette