Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hadir pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 di MyTown Shopping Centre, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 10 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini sepanjang tahun 2017 turun sebanyak 412 kematian iaitu 6,740 kematian berbanding 7,152 kematian pada 2016.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya amat berpuas hati kerana akhirnya pelbagai kempen membuahkan hasil dengan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar turun 2.34 pada tahun lalu berbanding 2.59 pada 2016.

Namun jelas beliau, seperti tahun-tahun sebelumnya, pengguna motosikal masih menjadi penyumbang utama angka kematian di jalan raya.

“Daripada jumlah pengguna jalan raya yang maut pada tahun 2017, 64.5 peratus adalah pengguna motosikal sebanyak 4,348 daripada jumlah motosikal yang berdaftar melebihi 13 juta.

“Kerajaan memandang serius ini menerusi pelbagai program, inisiatif dan kempen telah dijalankan bagi menangani masalah kemalangan jalan raya yang tinggi.

“Kumpulan sasaran utama termasuk anak-anak muda kebanyakannya terus didekati supaya kempen secara terus dan bersemuka dapat dijalankan bagi mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berwaspada dan fokus semasa di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2015 Peringkat Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, kementerian bukan sengaja hendak mengenakan kompaun kepada pesalah jalan raya.

Namun tindakan itu, jelas beliau adalah sebagai langkah pencegahan dan peringatan kepada pengguna jalan raya bagi menyelamatkan nyawa mereka.

“Bukan kita sahaja nak kompoun. Pembangkang pula putar belit kata kerajaan tidak ada wang.

“Tapi kompaun itu sebagai langkah pencegahan dan peringatan kepada pengguna jalan raya bagi menyelamatkan nyawa mereka,” katanya. – MalaysiaGazette