Ketua wanita MCA Bahagian Cheras, Datin Heng Sinn Yee bersama kakitangan MCA dan pengguna jalan raya menunjukkan tempat lalu lintas pada sidang akhbar berkenaan persimpangan jalan yang tidak menunjukkan arah lalu lintas yang jelas sehingga mengakibatkan kemalangan di stesen minyak Petronas Jalan Cheras (berhampiran PGRM), Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kemalangan kecil di Jalan Cheras dan Jalan Pudu Ulu boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari akibat  kenderaan yang membuat pusingan u dan membelok sesuka hati.

Sikap buruk pengguna yang mahu cepat itu dikhuatiri  membawa kepada bala lebih ‘besar’ seandainya kajian serta tahap keselamatan di kedua-dua kawasan itu tidak dipertingkatkan.

Ketua Wanita MCA Bahagian Cheras, Datin Heng Sinn Yee berkata, pihaknya telah beberapa menerima aduan daripada penduduk setempat yang bimbang dengan kemalangan yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Justeru, pihaknya mahu  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa untuk melakukan kajian bagi mempertingkatkan tahap keselamtan bagi mengelakan kejadian tidak diingini berlaku terutamanya jika membabitkan kemalangan jiwa.

“Apa yang membimbangkan kita ketika ini ialah segelintir pengguna kenderaan mengambil jalan pintas dengan melakukan pusingan-U, melanggar lampu isyarat dan membelok ke simpang secara sesuka hati.

“Perkara ini sekaligus mengundang bahaya kepada orang ramai khususnya warga emas dan kanak-kanak yang melintas jalan. Lebih teruk lagi apabila pertambahan pengguna jalan raya kerana lebih banyak perumahan, pusat beli belah serta stesen pengangkutan awam,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Sinn Yee, langkah segera perlu dilaksanakan DBKL bagi menangani masalah itu dan antaranya menyediakan laluan pejalan kaki untuk orang ramai melintas dengan lebih selamat.

“Pengguna jalan raya semakin ramai, kawasan perumahan juga sudah bertambah. Pusat beli belah juga sudah banyak. Tempat ini sangat sibuk. Tanpa sebarang papan tanda yang jelas, menyukarkan pengguna.

“Apa yang kita risau seandainya kita tutup mata perkara-perkara lain pula yang terjadi sehingga membabitkan nyawa. Kita minta DBKL untuk kaji semua ini demi keselamatan pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Chow Chee Wai, 39, yang merupakan mekanik gusar melalui kedua-dua jalan berkenaan kerana seringkali menyaksikan kemalangan terutama ketika pemandu melakukan pusingan u-turn secara haram.

“Pemandu sanggup melakukan pusingan U secara haram tanpa mempedulikan keselamatan diri atau orang lain kerana mahu cepat, aliran trafik juga selalu sibuk dan sesak. Papan tanda juga tidak jelas,” katanya.

Sementara itu, Lai Hin Loon yang merupakan Pengerusi Persatuan Penduduk Pudu Impian 1 mengakui sentiasa mendapat khabar buruk berlakunya kemalangan di kawasan yang sama.

“Ada beberapa jalan yang menghala ke Velocity Mall, jalan menuju ke Taman Shamelin, ke Jalan Cheras dan MRR2. Semua ini tanpa papan yang jelas kerana itu banyak kemalangan berlaku. Mohon pihak berwajib ambil serius,” tegasnya.- MalaysiaGazette