Home Ekonomi Tiba awal sebelum penerbangan – AirAsia

Tiba awal sebelum penerbangan – AirAsia

SEPANG – Sempena perayaan Tahun Baru Cina, AirAsia dan AirAsia X menasihatkan para penumpang tiba lebih awal di lapangan terbang sekurang-kurangnnya 3 jam sebelum waktu perlepasan bagi penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK) dan 4 jam sebelum bagi penerbangan AirAsia X (kod penerbangan D7).

Langkah itu membolehkan para penumpang melepasi kesemua formaliti penerbangan dan mengelakkan kesesakan yang dijangka berlaku semasa musim perayaan ini.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu menasihati para penumpang supaya daftar masuk sendiri melalui laman web, aplikasi mudah alih atau kiosk daftar masuk dan mencetak pas masuk terlebih dahulu bagi memudahkan perjalanan mereka.

Perkhidmatan ini boleh didapati 14 hari sebelum tarikh penerbangan dan 1 jam sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia dan sehingga 4 jam sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia X.

Kiosk Daftar Masuk Sendiri dan Tag Bagasi Sendiri tersedia di semua lapangan terbang di Malaysia, manakala perkhidmatan Daftar Masuk Bagasi Sendiri boleh didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kuching, Langkawi, Kota Kinabalu, Pulau Pinang serta Lapangan Terbang Miri, Tawau, Sultan Ismail Petra dan Sibu.

Penumpang yang berlepas dari Johor Bahru pula boleh menikmati perjalanan yang lebih lancar tanpa mengemukakan dokumen peribadi mereka dengan sistem pengecaman wajah pertama di Asia oleh syarikat penerbangan, Fast Airport Clearance Experience System (F.A.C.E.S) di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Bagi tetamu yang mempunyai bagasi untuk didaftar masuk, kaunter bagasi ditutup 60 minit sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia dan AirAsia X.

Oleh kerana kesesakan dijangka berlaku di kaunter mengimbas bagasi dan di kaunter imigresen, anda dinasihatkan untuk melengkapkan proses daftar masuk bagasi dan terus ke pintu perlepasan seawal mungkin. – MalaysiaGazette