Home Nasional Berita palsu menakutkan pelabur

Berita palsu menakutkan pelabur

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggaul Yee Sang sambil diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parti Gerakan di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Penularan berita palsu yang berlaku dalam negara semakin membimbangkan dan berisiko mengundang masalah kepada negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, penyebaran berita palsu di media-media sosial dan Internet telah menakutkan para pelabur asing.

“Semua gambar palsu, video palsu ini tidak bagus. Apatah lagi berita palsu tentang negara akan muflis, ada masalah, sedangkan semua palsu dan memberi ketakutan kepada pelabur yang mahu berniaga dengan Malaysia.

“Perlu diingat berita di sosial media sekarang ini bukan sahaja dibaca oleh rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia.

“Bukan semua perlu percaya, 1 peratus percaya, 1 peratus panik, 1 peratus yang bersangka tidak baik cukuplah, negara akan berhadapan dengan masalah lebih besar,” katanya kepada pemberita ketika sidang media.

Mah berkata demikian mengulas dakwaan tentang masalah kewangan yang dihadapi oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyebabkan bangunannya tidak diselenggara dengan baik dan akhirnya mengakibatkan kebakaran.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Hari Terbuka Parti Gerakan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia hadir di Menara PGRM untuk bersama-sama berkongsi kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina.

Mah yang juga Presiden Gerakan bimbang berita palsu yang disebarkan akan menimbulkan kemarahan dan kebencian, lebih-lebih lagi apabila menyentuh tentang agama dan perbezaan kaum.

“Saya tidak tahu apa akan terjadi pada tahun ini terutama  menjelang pilihan raya ni. Tapi saya risau jika berita palsu membabitkan isu agama, isu kepelbagaian kaum, sangat bahaya.

“Saya tahu tinjauan mendapati banyak orang tak percaya berita palsu tapi bila satu orang tak percaya dan satu orang beri respon apa akan jadi?,” tambah Ahli Parlimen Teluk Intan itu yang percaya akan wujud lebih banyak berita palsu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). – MalaysiaGazette