KUANTAN – Seramai 90 penghuni sebuah hotel di Bukit Tinggi Bentong terpaksa berpindah pada awal pagi Sabtu selepas sebahagian dinding hotel berkenaan runtuh.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kejadian pada pukul 2 pagi itu juga menyebabkan seorang lelaki warga emas dan seorang kanak-kanak lelaki cedera akibat terkena serpihan batu.

“Runtuhan melibatkan aras satu blok H hotel itu, kira-kira 84 meter persegi dan semasa kejadian semua penghuni hotel itu sedang tidur.

“Bomba telah mengarahkan supaya pengurusan hotel memindahkan semua penghuni di blok terbabit sebagai langkah keselamatan.

“Blok itu juga telah diarahkan ditutup sementara untuk pemeriksaan, sehingga ia disahkan selamat untuk didiami,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Mohd Sani menambah, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bentong.Beliau berkata operasi yang turut disertai pasukan Polis Diraja Malaysia itu ditamatkan pada pukul 4.20 pagi.- Bernama