Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menolak notis rayuan yang difailkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam kes saman yang beliau diperintahkan untuk membayar ganti rugi am RM150,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Zabariah Mohd Yusof dengan sebulat suara membenarkan permohonan Anwar untuk membatalkan notis rayuan.

Tengku Maimun yang mempengerusikan panel itu berkata terdapat beberapa kekaburan dalam notis rayuan.

“Selepas membaca dengan teliti notis rayuan, kami mendapati terdapat beberapa kekaburan sama ada perayu (Khairy) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya (Khairy) untuk meminda kenyataan pembelaannya,” kata hakim.

Beliau berkata notis rayuan menyatakan bahawa Khairy tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi tetapi tidak menyebut bahawa beliau juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya (Khairy) untuk meminda kenyataan pembelaan.- BERNAMA