Walaupun mengakui pemberhentian kerja berlaku dan tidak dapat dielakkan apabila syarikat gulung tikar, Johari bagaimanapun berkata, pekerja yang terjejas dapat memperoleh kerja baharu selepas seketika. - foto hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan cabaran, tetapi momentum ekonomi Malaysia dijangka akan pulih dengan baik pada tahun ini.

Optimis dengan keadaan ekonomi Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga percaya kadar pemberhentian pekerja akan dikurangkan sementara kadar pengangguran dikekalkan pada 3.4 peratus.

Johari berkata demikian kepada Sinchew Daily sebagai mengulas jangkaan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia bahawa tahun 2018 merupakan tahun mencabar dengan 50,000 orang dianggar akan kehilangan kerja.

Walaupun mengakui pemberhentian kerja berlaku dan tidak dapat dielakkan apabila syarikat gulung tikar, Johari bagaimanapun berkata, pekerja yang terjejas dapat memperoleh kerja baharu selepas seketika.

“Kami tidak boleh merujuk jumlah pekerja yang diberhentikan sahaja, tetapi harus melihat peluang pekerjaan baharu yang diwujudkan.

“Kerajaan tidak boleh menjamin bahawa setiap syarikat akan mengaut keuntungan kerana ia bergantung kepada operasi syarikat. Ada yang mengalami kerugian atas faktor mata wang, tetapi ada juga yang mendapat keuntungan daripadanya,” katanya.

Tambahnya, jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar 3.9 peratus juga akan memberi manfaat kepada Malaysia.

Dengan pilihan raya yang akan dijalankan pada tahun ini, ia juga akan membawa momentum kepada pertumbuhan ekonomi negara ini.

“Keadaan ekonomi pada 2018 adalah sangat baik dengan pertumbuhan global dianggarkan pada 3.7 peratus manakala perdagangan dunia dianggarkan kekal berkembang pada empat peratus,” katanya. – MalaysiaGazette